Hadkan Masa Main Permainan Video, China Ambil Berat Kesan Kepada Remaja!
Agak mengejutkan apabila China dengan tegasnya telah menetapkan bahawa remaja yang berusia bawah 18 tahun hanya dibenarkan bermain permainan video dalam talian selama sejam pada Jumaat, hari minggu dan cuti umum.
Waktu bermain juga telah ditetapkan antara jam 8 malam hingga 9 malam.
Menurut Harian Metro, Sebelum arahan baru yang dikeluarkan ini, negara China membenarkan kanak-kanak bermain permainan video selama 90 minit untuk hari biasa, manakala tiga jam bagi hari cuti minggu dan cuti umum.
Namun, melihat pada kesan buruk jangka panjang, negara China mengambil keputusan untuk mengetatkan lagi perintah tersebut kepada peraturan terkini yang ditetapkan.
Walaupun peraturan ini dilihat sangat ketat dan mengawal kanak-kanak, perkara tersebut masih dilaksanakan susulan bagi mengawal ketagihan permainan video bagi golongan muda di negara tersebut.
Pada Julai lepas, syarikat permainan video dalam talian yang terkenal di China iaitu Tencent telah menggunakan teknik pengesanan wajah bagi menghalang kanak-kanak bermain permainan video dari waktu 10 malam hingga 8 pagi.
Penggunaan teknik tersebut bertujuan bagi mengelakkan kanak-kanak menggunakan identiti orang dewasa bagi melanjutkan waktu bermain.
Perkara ini dilihat telah mengecewakan hampir 10 juta peminat permainan video di China tetapi dilihat harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa kerana mereka mengambil berat dengan ketagihan permainan video.