Individu Di Sebalik Kostum Mickey Mouse, Tak Kisah Berpeluh Demi Ceriakan Pelajar
Semalam tular di media sosial tentang ‘kehadiran’ Mickey Mouse dan robot Transfomers di hari pertama sesi persekolahan.
Siapa sangka, di sebalik kostum Mickey Mouse adalah seorang lelaki berusia 51 tahun yang juga merupakan jurugambar sepenuh masa! Memang terbaik, bukan senang nak sarung kostum dan berdiri berjam-jam!
Berkongsi tentang pengalamannya itu, Azree Ramli berkata, dia sudah bersiap sedia dengan kostum itu seawal 7 pagi untuk menyambut pelajar Sekolah Kebangsaan Petani Jaya, Sungai Petani, Kedah.
“Mula-mula ada juga rasa malu sebab umur dah tua, tapi niat nak menggembirakan pelajar, saya ketepikan perasaan tu.”
Menurut Azree, idea memakai kostum itu timbul secara spontan selepas mendengar pengumuman kerajaan mengenai tarikh pembukaan sekolah.
“Saya sebenarnya seorang jurufoto yang terlibat dalam sektor pendidikan…jadi banyak pergi ke sekolah-sekolah. Saya rasa seronok apabila dikelilingi pelajar dan rasa gembira kalau tengok wajah ceria mereka.
“Kita pun tahu selama pandemik ini, ramai yang stres baik cikgu mahupun pelajar sebab komunikasi yang terhad. Jadi apabila kerajaan umum 1 Mac buka sekolah, saya terfikir mengapa tidak saya buat sesuatu untuk kembalikan keceriaan murid.
“Saya bincang dengan isteri yang juga seorang guru di SK Petani Jaya…dia pun setuju. Lagipun kebetulan ada kostum Mickey Mouse yang dibeli suka-suka sebelum ini di Shopee. Kemudian bincang dengan Guru Besar dan beliau pun setuju,”
Bapa kepada tiga anak ini juga berkata, meskipun suasana pada ketika itu hujan renyai-renyai namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk menyambut kehadiran pelajar apatah lagi melihat senyuman terukir di wajah mereka di sebalik pelitup muka masing-masing.
Salute! Ini yang orang sebut, bahagiakan diri dengan cara membahagiakan orang lain.
Sumber gambar: AzreeOrenkalerRamli