Lagi! Promosi Iklan Judi Dikesan, Tiga Individu Ditahan Polis
Kebelakangan ini iklan judi makin giat dipromosikan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Baru sahaja kecoh kes promosi iklan judi beberapa hari lepas, timbul lagi kes yang berkaitan promosi judi secara atas talian.
Semalam pihak polis telah menahan tiga lagi individu kerana terbabit dengan dua lagi pembikinan video promosi judi secara atas talian yang berdurasi 48 dan 30 saat itu.
Dua video yang dikesan itu bertemakan Hari Raya yang menggunakan pelakon warga tempatan dan di antara mereka ada yang memakai tudung.
Menurut laporan Kosmo, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun itu disyaki bertanggungjawab dalam pembikinan video berkenaan di tahan di sekitar ibu negara serta direman bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua laporan polis telah dibuat melibatkan tiga orang suspek yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki.
Mohamad Zainal berkata, pihak polis tidak akan berkompromi ke atas semua pihak yang terbabit dalam aktiviti pembikinan video tersebut. Tindakan tegas akan di ambil mengikut undang-undang sedia ada.
Tambahnya lagi, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi atau menyebarkan video tersebut memandangkan perbuatan seperti itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah akan mengundang keresahan dan kegusaran orang awam.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sumber Gambar: khalifah.com