Lelong Pingat Olimpik, Usaha Maria Andrejczyk Selamatkan Nyawa Bayi – Manis Madu
Lelong Pingat Olimpik, Usaha Maria A

Lelong Pingat Olimpik, Usaha Maria Andrejczyk Selamatkan Nyawa Bayi

Usaha murni bintang olahraga Poland, Maria Andrejczyk yang sanggup melelong pingat perak dimenanginya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 semata-mata mahu menyelamatkan nyawa seorang bayi untuk menjalani pembedahan layak mendapat pujian.

 

Atlet berusia 25 tahun itu yang meraih tempat kedua acara rejam lembing di Tokyo, Jepun, bertekad untuk menjual pingat pertamanya di pentas Olimpik tersebut dengan nilai AS$125,000 (RM525, 000) dalam laman sosial Facebook.

Menurut laporan, lelongan untuk mengumpul dana itu bertujuan bagi memastikan bayi lelaki berusia lapan bulan, Miloszek Malysa dapat diterbangkan segera ke Amerika Syarikat untuk menjalani pembedahan.

 

“Malysa mengalami masalah jantung yang serius dan dia memerlukan pembedahan segera. Ibu bapanya tidak berputus asa berusaha mendapatkan dana bagi menyelamatkan anak mereka.

 

“Mungkin dengan cara ini saya juga dapat membantunya, jadi saya memilih untuk melelong pingat perak Olimpik ini,” kata Andrejczyk.

 

Tindakan Andrejczyk yang melelong pingat Olimpik tersebut mendapat liputan meluas sehingga menyaksikan sebuah rangkaian pasar raya di Poland iaitu Zabka telah membelinya dengan harga AS$265,000 (RM1.12 juta).

 

Usaha pasar raya Zabka layak mendapat pujian kerana tidak mahu mengambil pingat itu, sebaliknya meminta Andrejczyk menyimpannya kerana ia adalah hasil kerja keras atlet berkenaan yang telah membanggakan Poland di pentas antarabangsa.

bintang olahraga Poland, Maria Andrejczyk

Sebagai rekod, Andrejczyk pernah disahkan menghidap penyakit sinus osteosarcoma dua tahun lalu iaitu sejenis kanser tulang yang menyebabkan sakit kepala berterusan dan hampir-hampir meragut peluangnya ke Olimpik Tokyo 2020.

 

Bagaimanapun, Andrejczyk bernasib baik apabila kanser itu berjaya dikesan awal dan hanya perlu melakukan pembedahan tanpa menjalani rawatan kemoterapi.

Post a Comment