Nenek Umur 80 Tahun Berjaya Daki Gunung Datuk Dalam Masa Dua Jam!
Seorang warga emas, Siti Zaharah Abdullah berumur 80 tahun, telah berjaya sampai ke daki Gunung Datuk dalam tempoh dua jam!
Menurut laporan Utusan Malaysia, Siti Zaharah berjaya mendaki gunung tersebut tanpa memerlukan sebarang peralatan seperti tongkat untuk menampung dan membantunya sepanjang perjalanan.
Siti Zaharah dan anak sulungnya, Esah Hitam, 59, telah merancang untuk ke Gunung Datuk sejak Ahad lalu apabila rancangan asal untuk ke Melaka dibatalkan.
“Anak saya kemudian mengajak untuk mendaki Gunung Datuk, saya bersetuju kerana sudah lama tidak mendaki gunung tersebut. Boleh juga saya lihat matahari terbenam dan juga minum air tempayan di gua yang terdapat berhampiran puncak gunung.
“Sebelum berkahwin dulu, tiga kali saya mendaki gunung berkenaan dan di awal perkahwinan dengan suami, Allahyarham Hitam Sardi, sekali lagi saya mendakinya,” ujar Siti Zaharah.
Pendaki lain begitu kagum dengan kebolehan Siti Zaharah yang tidak memerlukan tongkat semasa mendaki. Apabila dihulurkan tongkat, dia menolak kerana padanya, lebih selesa untuk melompat dari satu batu ke batu yang lain tanpa menggunakan tongkat.
“Rasa seronok sangat tidak tahu mahu cakap macam mana, saya tidak rasa penat malah rasa ringan. Pada waktu itu, ada juga yang mahu mengambil gambar saya,” tambahnya lagi.
Siti Zaharah berkongsi rahsianya kekal cergas dan sihat pada usia 80 tahun adalah dengan mengamalkan minum air basuhan tangannya sendiri selepas makan.
“Selepas makan, biasanya saya akan basuh tangan di dalam pinggan yang sama, kemudian selawat tiga kali dan saya akan minum air itu,” kongsi wanita tersebut.
Wanita berumur 80 tahun ini memiliki 15 orang anak dan hanya 6 sahaja yang masih hidup. Dia juga memberitahu bahawa kurang makan makanan daging seperti ayam.
“Saya bangun tidur sebelum Subuh dan mengemas dari dalam rumah dan kemudiannya di luar rumah untuk mengeluarkan peluh, barulah sihat” katanya.