Oxfordshire Bakal Jadi Bandar Bebas Rokok Menjelang 2025? – Manis Madu
Oxfordshire Bakal Jadi Bandar Bebas Rokok Menjelang 2025

Oxfordshire Bakal Jadi Bandar Bebas Rokok Menjelang 2025?

Oxfordshire bakal menjadi bandar pertama di Britain yang melarang aktiviti merokok di kawasan terbuka dengan sasaran menjadi bandar bebas rokok menjelang 2025, lapor portal Metro semalam.

 

Larangan tersebut akan bermula sejurus tamatnya perintah berkurung di Britain yang bakal menyaksikan lebih banyak restoran dibuka serta peningkatan aktiviti makan di luar.

 

Di bawah pelan yang dipersetujui oleh pegawai kesihatan awam sebelum bermulanya pandemik Covid-19, keutamaan pada tahun ini akan diberikan kepada strategi termasuk untuk mewujudkan lebih banyak kawasan yang memberikan rasa ‘hebat’ bagi mereka yang tidak merokok.

 

Ini termasuk menggalakkan majikan untuk menghentikan sikap merokok dalam kalangan pekerja selain mewujudkan kawasan bebas rokok di laluan pejalan kaki di sekitar restoran.

 

Pengarah Kesihatan Awam Oxfordshire, Ansaf Azhar berkata, strategi itu merupakan satu kaedah jangka panjang dalam mengubah budaya merokok selain mengurangkan kadar kematian akibat penyakit berkaitan tembakau.

 

“Kami enggan memaksa orang ramai untuk tidak merokok. Sebaliknya, ini merupakan cara untuk mewujudkan persekitaran di mana sikap tidak merokok sangat digalakkan.

 

“Namun, perkara tersebut tidak akan berlaku dalam jangka masa singkat,” ujarnya.

Post a Comment