Penting Diri! Penghuni Lelaki Kumpul Barang Lusuh Sampai Tinggi Menggunung
Penduduk flat di Bukit Gedung, Bayan Baru, Georgetown baru-baru ini berang dengan sikap penting diri seorang penghuni lelaki yang menjadikan koridor rumah sebagai tempat longgokan barang lusuh sehingga hampir mencecah siling.
Penghuni lelaki yang difahamkan tinggal bersendirian itu dipercayai mula menghimpunkan barangan miliknya seperti pakaian lusuh, perabot, kasut, rak besi dan kayu sejak tiga tahun lalu.
Menurut laporan Kosmo!, ini merupakan kejadian kedua melibatkan lelaki yang sama. Ketika itu lelaki ini tinggal di kediaman lama yang terletak berhampiran rumahnya pada tahun 2019.
Kerja-kerja pembersihan dan pembuangan sampah di setiap ruang kediaman berkenaan dianggarkan lebih lima tan menggunakan tujuh buah lori terbuka.
Tinjauan yang dibuat di kediaman lelaki itu semalam mendapati pintu dan tingkap rumahnya berada dalam keadaan tertutup, manakala barang lusuh yang dilonggokan itu hampir mencecah bahagian siling.
Disebabkan sikap panas baran lelaki itu, penduduk lain juga tidak sanggup berbincang dengannya dan mula menjauhkan diri.
Menurut Ahmad Shafiee, 49, yang juga penduduk flat berkenaan berkata, meskipun banyak pendekatan telah dilakukan termasuk berjumpa dengan penghuni itu sendiri, lelaki berkenaan tetap tidak menghiraukan dan menyuruh penduduk di situ menggunakan laluan lain untuk turun ke tingkat bawah.
Bukan sekadar membawa pulang atau melonggokkan barangan terpakai di hadapan rumah, lelaki terbabit kini giat menjadikan tempat letak motosikal pula sebagai ‘port’ baharu untuk dia meletakkan barang lusuhnya.
Sumber Featured Image: Kosmo! – Mohammad Firdaus Amran