Percaya Rakan Baru Mahu Kirim Hadiah, Akhirnya RM17,500 Melayang! – Manis Madu
Akhirnya RM17,500 Melayang

Percaya Rakan Baru Mahu Kirim Hadiah, Akhirnya RM17,500 Melayang!

Jangan mudah terpedaya dengan kenalan yang baru sahaja korang kenali di media sosial. Apatah lagi secara tiba-tiba mahu mengirim hadiah lumayan dari luar negara!

 

Baru-baru ini, seorang pembantu jualan berusia 38 tahun mengalami kerugian sebanyak RM17,500 apabila termakan tipu muslihat rakan yang baru dikenalinya di laman sosial Facebook, lapor portal Kosmo!

 

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa berkenalan dengan suspek pada Februari lalu.

 

“Mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki menggunakan nama akaun Facebook sebagai Mohammed Asan yang berasal dari Sarawak dan menetap di Amerika Syarikat.

“Lelaki tersebut memaklumkan ingin memberi hadiah berupa wang tunai AS20,000 (RM83,000) serta barang kemas sebagai tanda persahabatan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelasnya, untuk menerima hadiah tersebut, wanita itu diminta membuat bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST), caj kastam serta kos penghantaran terlebih dahulu.

 

Tanpa berfikir panjang, mangsa segera melakukan 11 transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank milik seorang wanita antara 26 Februari hingga 6 Mac lalu.

 

“Selepas memindahkan RM17,500 ke dalam akaun yang diberikan suspek, mangsa sekali lagi diminta memasukkan RM1,000 namun dia enggan kerana menyedari telah ditipu,” tambahnya lagi.

 

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Post a Comment