Percaya Tak, Wanita Ini Jadi Pelatih Kecergasan Walaupun Usia Sudah Cecah 90 Tahun!
Umumnya, pada usia 90 tahun, ramai yang sudah tidak mampu berjalan dan melakukan aktiviti senaman.
Namun, berbeza dengan Takishima Mika yang bukan saja melakukan aktiviti kecergasan, malah menjadi pelatih kecergasan pada usia emas, lapor Oddity Central.
Pesara yang mesra dengan panggilan Takimika menyambut ulang tahun ke-90 pada 15 Januari lalu.
Difahamkan, meskipun usianya sudah menghampiri satu abad, dia lebih aktif daripada kebanyakan remaja berusia 20 tahun dan mungkin juga lebih sihat.
Lebih mengagumkan, dia kini merupakan seorang pelatih kecergasan tertua di Jepun dan menjadi selebriti di negaranya kerana mempunyai tubuh yang sihat!
Untuk pengetahuan Maduners, transformasi hidup Takimika bermula ketika dia sudah berusia 60-an.
Pernah satu ketika, dia menganggap dirinya agak montok namun tidak minat untuk melakukan apa juga bentuk senaman. Tetapi komen suami mengenai berat badannya ketika dia berusia 65 tahun, mengubah segala-galanya.
“Waktu itu, saya sangat gemuk, ukuran seluar saya adalah dua kali dari sekarang.
“Namun, saya enggan mengakui bahawa berat badan saya berlebihan. Tetapi, suatu hari, suami saya komen mengenai berat badan saya, dan ketika itulah saya memutuskan untuk ke gimnasium,” katanya.
Pada awalnya, dia mahu menetapkan sasaran untuk mengurangkan 15 kilogram daripada berat badannya, dalam tempoh lima tahun.
Tetapi, selepas mencapai matlamat itu, Takimika terus berlatih kerana minat kepada kecergasan selain menetapkan cabaran baharu untuk dirinya sendiri.
“Saya hanya cergas kerana ingin menurunkan berat badan. Namun, selepas melakukannya, saya rasa ingin memiliki bahagian bawah yang cantik seperti wanita Brazil,” ujarnya.
Percaya atau tidak, Takimika menjadi tenaga pengajar kecergasan pada usia 87 tahun, selepas dipaksa oleh jurulatihnya sendiri.