Queenie Ting Pecah Rekod Kebangsaan Lempar Cakera – Manis Madu
Queenie Ting and jurulatihnya Mohamad Ali Hamid

Queenie Ting Pecah Rekod Kebangsaan Lempar Cakera

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2019 di Filipina, Queenie Ting Kung Ni melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara lempar cakera wanita dengan lemparan sejauh 48.56 meter (m) pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

 

Rekod berkenaan sekaligus memadam rekod dipegang atlet Johor, Connie Choo Kang Ni yang sebelum ini memegang catatan 47.91 m yang dilakar pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

 

Queenie, 24, melakukan catatan 48.56 itu pada lemparan terakhir acara berkenaan untuk merangkul pingat emas sementara Connie Choo meraih pingat perak dengan rekod lemparan sejauh 45.53 manakala pingat gangsa menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Yap Jen Tzan dengan catatan 44.82 m.

 

Bagaimanapun, keputusan rasmi rekod baharu kebangsaan itu hanya disahkan juri pertandingan selepas beberapa jam acara itu tamat, menyaksikan Queenie tidak dapat menahan sebak sebaik keputusan itu diumumkan.

 

“Hari ini seperti ‘roller coaster’ menantikan keputusan rasmi dengan perasaan yang sangat gementar, kejayaan ini amat penting bagi saya dan jurulatih. Saya sangat gembira akhirnya dapat pecahkan rekod kebangsaan,” katanya.

 

“Terima kasih kepada semua yang perjuangkan catatan ini dan menjadikan impian saya menjadi kenyataan. Antaranya jurulatih Man (Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Kebangsaan, Mohd Mansahar Abdul Jalil),” tambahnya lagi.

 

Catatan peribadi terbaik Queenie ialah 46.51 m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019 namun hanya mencatat 45.28 m ketika meraih pingat pertamanya pada Sukan SEA 2019.

 

Kejohanan GP Malaysia berlangsung selama dua hari bermula Sabtu dan merupakan kejohanan kompetitif pertama disertai sebahagian besar atlet olahraga kebangsaan sejak penularan pandemik Covid-19 awal tahun lepas. – BERNAMA

Sumber Gambar: BERNAMA

Post a Comment