Remaja 15 Tahun Didakwa Bunuh Bayi Sendiri
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya di daerah ini pada minggu lalu.
Menurut laporan Kosmo!, dia yang memakai baju T dan seluar berwarna hitam mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Berdasarkan pertuduhan, remaja perempuan berkenaan didakwa membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di daerah ini antara pukul 3 pagi hingga 9 pagi pada 8 Februari lalu.
Remaja perempuan tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Laporan 9 Februari lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan kerana disyaki menikam bayi lelaki yang dilahirkannya sehingga mati.
Difahamkan anak tunggal yang menetap berdua bersama ibunya itu telah keciciran persekolahan sejak beberapa tahun lalu.