Rumah Penuh Timbunan Sampah Diserbu Gara-Gara Jadi Sarang Pembiakan Nyamuk!
Umum mengetahui, demam denggi bukan sekadar demam biasa malah penyakit yang berpunca daripada nyamuk ini boleh mengancam nyawa.
Menerusi akaun Facebook Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, terdapat satu laporan diterima berkaitan sebuah rumah di Taman Yarl, Kuala Lumpur.
Apa yang mengejutkan mereka, keadaan rumah berkenaan dipenuhi dengan sampah dan barang kitar semula.
Keadaan berkenaan menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan jiran tetangga kerana sampah sarap yang ‘dikumpul’ sudah mencecah bumbung selain menyakitkan pandangan mata.
Lebih menakutkan, rumah tersebut dipercayai menjadi sarang pembiakan nyamuk kerana dipenuhi sampah sarap dan air bertakung!
Notis amaran juga dikeluarkan untuk segera membersihkan sisa sampah di rumah mereka untuk memastikan keadaan bersih dan juga bebas denggi dalam tempoh tiga hari ketika serbuan.
Menurut sumber, anggota penguat kuasa telah diarahkan untuk membuat serbuan setelah mendapat aduan daripada jiran tetangga mengenai keadaan rumah itu.