Selagi Tidak Tamat Sekolah, Dilarang Kahwin! – Manis Madu
featured images 944

Selagi Tidak Tamat Sekolah, Dilarang Kahwin!

Ibu bapa calon pelajar di sebuah sekolah menengah pertama dan vokasional di Jawa Timur diwajibkan menandatangani satu perjanjian yang mengatakan bahawa anak-anak mereka tidak akan berkahwin sehingga lulus pengajian, lapor laman Berita Jatim.

 

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Institusi Pendidikan Perjuangan Islam Bustanul Ulum (IBU) itu bertujuan agar ibu bapa dapat menyokong proses pembelajaran anak-anak serta tidak akan mengganggu mereka dengan kepentingan peribadi.

 

Pengetuanya, Hafidi Cholis berkata, perjanjian itu juga bererti ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada para penjaga untuk sepanjang tempoh pengajian. 

 

“Sejak awal penubuhannya, institusi pendidikan ini dibangunkan untuk mencegah terjadinya aktiviti pernikahan bawah umur setelah tamat sekolah rendah dalam kalangan masyarakat.

 

Buat masa ini, dikatakan agak mudah untuk menemui kes di mana anak-anak berusia 13 dan 14 tahun telah dinikahkan oleh ibu bapa mereka di wilayah tersebut.

 

“Disebabkan itu, kami mewujudkan perjanjian ini untuk menggalakkan kesungguhan kerjasama antara ibu bapa, masyarakat, pemerintah daerah dan institusi khususnya penjaga di sini.

 

“Selain itu, ibu bapa tidak boleh membuat tuntutan sivil dan jenayah kepada penjaga atas tindakan disiplin yang mungkin dikenakan terhadap anak mereka. Ini adalah bagi membentuk moral dan akhlak pelajar,” katanya.

 

Yayasan IBU menempatkan Madrasah Ibtidaiyah, sekolah menengah pertama, sekolah menengah vokasional dan sekolah berasrama dengan jumlah pelajar seramai 5,200 orang.

 

Sumber Featured Image: Berita Jatim

Post a Comment