Sri Lanka Isytihar Muflis, Sistem Kewangan Lumpuh – Manis Madu
Sri Lanka Isytihar Muflis, Sistem Kewangan Lumpuh

Sri Lanka Isytihar Muflis, Sistem Kewangan Lumpuh

Kerajaan Sri Lanka memberi isyarat bahawa negara itu kini telah muflis dengan mengumumkan kegagalannya untuk membayar semua hutang luar negara, lapor akhbar Daily Financial Times.

 

Langkah itu sekali gus menamatkan rekod cemerlang Colombo dalam membayar obligasi hutang luar negaranya sejak kemerdekaan Sri Lanka.

 

Setiausaha Perbendaharaan, Mahinda Siriwardena memberitahu wartawan bahawa penstrukturan semula obligasi hutang luar negara yang ‘tertib dan konsensual’ akan didorong oleh program bantuan ekonomi yang disokong oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

 

Menurut beliau, Sri Lanka mempunyai rekod sempurna bagi pembayaran hutang luar negara sejak kemerdekaan pada tahun 1948.

 

“Bagaimanapun, beberapa krisis baru-baru ini seperti pandemik Covid-19 dan krisis di Ukraine telah menjejaskan kedudukan fiskal negara ini.

 

“Lewat bulan lepas, IMF memberi penilaian bahawa stok hutang Sri Lanka adalah tidak mampan.

 

“Meskipun kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha untuk kekal berdaya tahan dalam semua keberhutangan, kini jelas bahawa ia bukan lagi dasar yang boleh dipertahankan. Penstrukturan semula obligasi-obligasi ini amat diperlukan,” ujarnya.

 

Tambah Mahinda, kerajaan telah meminta bantuan IMF untuk mewujudkan program pemulihan ekonomi dan bantuan kewangan kecemasan.

 

Kerajaan juga meminta bantuan kewangan daripada rakan-rakan kerjasama dua hala dan pelbagai hala bagi mengurangkan penderitaan rakyat yang disebabkan oleh krisis ekonomi itu.

 

Sri Lanka mempunyai kira-kira AS$6 bilion (RM25.37 bilion) hutang luar negara yang perlu dibayar bagi tahun ini, manakala rizab boleh guna negara itu telah merosot kepada rekod terendah dalam sejarah iaitu hanya AS$150 juta (RM634.2 juta).

 

Menurut laporan Times of India, Sri Lanka Selasa lalu mengumumkan gagal membayar hutang luar negaranya sebanyak AS$51 bilion (RM215.7 bilion).

Post a Comment