Sumbat 10 Pati Dalam Kereta, Seludup Pendatang Asing Tumpas! – Manis Madu
Sumbat 10 Pati Dalam Kereta, Seludup Pendatang Asing Tumpas!

Sumbat 10 Pati Dalam Kereta, Seludup Pendatang Asing Tumpas!

Bersesak dalam kereta selain ‘sumbat’ dalam bonet. Itu modus operandi digunakan seorang tekong untuk menyeludup 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam sebuah kereta Proton Waja.

 

Bagaimanapun tindakannya itu dipatahkan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam kejadian di Jalan Pintasan Pasir Mas, Kampung Jeram Perdah, lapor Harian Metro.

 

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika kejadian anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak dengan kereta itu dalam keadaan mencurigakan.

 

Katanya, anggota kemudian menahan kereta itu sebelum melakukan pemeriksaan terhadap pemandu yang juga seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.

 

“Anggota bertugas menemukan sekumpulan warga Myanmar berhimpit di bahagian tempat duduk penumpang serta di dalam bonet. Selepas disoal siasat, kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah termasuk pengenalan diri dan permit perjalanan.

 

“Kesemua Pati dan pemandu yang disyaki sebagai tekong ditahan, manakala kereta dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan media.

 

Susulan penahanan pertama itu, katanya, pada jam 4 pagi hari sama, anggota menyerbu sebuah rumah di Kampung Pangkal Pisang, Kota Bharu sebelum menahan seorang lelaki warga tempatan.

 

Azhari berkata, siasatan awal mendapati dua warga tempatan itu disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ dengan mengenakan upah sebanyak RM400 bagi setiap Pati yang dibawa ke Kuala Lumpur.

 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Post a Comment