Wanita Tertua Malaysia Masih Terus Tabur Bakti Kepada Masyarakat – Manis Madu
Wanita Tertua Malaysia Masih Terus Tabur Bakti Kepada Masyarakat

Wanita Tertua Malaysia Masih Terus Tabur Bakti Kepada Masyarakat

Tanggal 31 Mac lalu merupakan ulang tahun kelahiran seorang wanita Malaysia yang ke-110. Ini sekaligus menjadikan Annamah Abukutty, diiktiraf sebagai wanita tertua di Malaysia!

Menurut laporan berita Bernama, dilahirkan serta membesar di Thachambadi, India, Annamah berhijrah ke Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua meletus dengan membawa bersama ilmu dan pengalaman berkaitan herba tradisional India.

 

Ilmu berkaitan herba tradisional sering dikongsikan olehnya kepada penduduk setempat. Bahkan menurut anak lelakinya, M. Subramanian, 73, Annamah masih menerima kunjungan penduduk kampung serta pesakit untuk mendapatkan nasihat berkaitan perubatan tradisional.

 

Selain perubatan herba, penduduk kampung juga sering mendapatkan khidmat ibunya sebagai bidan, bidang refleksologi dan tatu.

 

Annamah yang kini menetap di Batu Gajah, Perak bersama keluarganya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda manakala keadaan mata kirinya hampir buta. Namun, beliau masih mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Tamil dan Bahasa Melayu di samping mempunyai ingatan yang masih kuat dan tajam.

 

Subramaniam berkata, antara rahsia usia panjang ibunya termasuk berpuasa serta mengamalkan meditasi dan pengambilan herba yang ditanam sendiri.

 

“Ibu saya amat konsisten dengan rutin untuk membersihkan tubuh daripada toksin dan menjaga kesihatan.

 

“Dia juga berpuasa setiap Isnin bagi membuang toksin dalam tubuh namun amalan itu dihentikan kira-kira 15 tahun lalu,” ujarnya.

 

Bersempena ulang tahunnya yang ke-110, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records (MBOR), Christopher Wong hadir bagi menyampaikan sijil rasmi MBOR kepada Annamah yang mengiktiraf beliau sebagai wania tertua di Malaysia.

 

Wong berkata, sijil sama disampaikan kepada Annamah tahun lalu di ibu pejabat MBOR di Kuala Lumpur.

 

“Saya dimaklumkan bahawa beliau kini merupakan rakyat Malaysia tertua yang masih hidup,” katanya.

Post a Comment