Tak Puas Hati Minat Gadis Sama, Pelajar Retak Kepala Dipukul Senior! – Manis Madu
Tak Puas Hati Minat Gadis Sama, Pelajar Retak Kepala Dipukul Senior!

Tak Puas Hati Minat Gadis Sama, Pelajar Retak Kepala Dipukul Senior!

Seorang pelajar lelaki retak tempurung kepala selepas dipukul senior, gara-gara dikatakan meminati pelajar perempuan sama di sebuah sekolah menengah, Selasa lalu, lapor Utusan Malaysia.

 

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian didakwa berlaku pukul 11.15 pagi ketika mangsa, pelajar tingkatan empat berada di luar kelas.

 

Menurut beliau, mangsa didatangi lima pelajar tingkatan lima yang terus memukul bahagian badan mangsa secara beramai-ramai.

 

“Salah seorang suspek memukul kepala mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan bahagian kiri tempurung kepalanya retak. Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ. 

 

“Selain cedera di kepala, mangsa turut bengkak di beberapa bahagian anggota badan seperti tangan kanan dan kiri, belakang badan dan lenguh di kaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

 

Choon Foo memberitahu, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dimasukkan ke dalam wad satu hari untuk menjalani rawatan susulan.

 

Jelasnya, punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek kerana mereka meminati pelajar perempuan yang sama.

 

“Semua pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah diambil keterangan oleh polis.

 

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Post a Comment