Jepun Cipta Tandas Boleh Simpan Dalam Beg Tangan Wanita! – Manis Madu
Jepun Cipta Tandas Boleh Simpan Dalam Beg Tangan Wanita!

Jepun Cipta Tandas Boleh Simpan Dalam Beg Tangan Wanita!

Negara Jepun sememangnya dikenali sebagai negara berteknologi tinggi dengan hasil ciptaannya yang luar biasa. 

 

Baru-baru ini, sebuah syarikat Jepun, Kokenawa Inc. dikhabarkan telah mencipta tandas paling kecil di dunia! Bukan sahaja boleh dibawa ke mana-mana, malah boleh disimpan di dalam poket seluar!

 

Menurut laporan Oddity Central, pengasas syarikat berkenaan, Yoshinori Kokenawa bercerita, beliau mendapat idea menghasilkan produk tersebut semasa menjadi sukarelawan di bandar Nagano yang ketika itu terjejas akibat Taufan Hagibis sekitar tahun 2019 lalu.

Masalah utama yang dihadapi orang ramai ketika itu adalah penggunaan tandas kerana mereka perlu beratur panjang untuk menggunakannya.

 

“Meskipun berjalan dengan pantas untuk sampai ke tandas, orang ramai terpaksa beratur sehingga 30 minit atau lebih lama untuk menggunakan tandas. Jadi, saya mahu lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

 

Rentetan daripada itu, sekitar Disember tahun 2020, syarikat Kokenawa melancarkan produk bernama Pocketoilet yang boleh dimuatkan dalam poket seluar dengan saiz sepanjang 7 sentimeter (sm) dan lebar 6.5 sm.

 

Pocketoilet terdiri daripada beg yang diperbuat daripada gentian khas, tahan lama dan satu paket bahan pembeku.

 

Beg tersebut boleh dipasang pada mangkuk tandas atau tong sampah untuk digunakan.

 

Beberapa ujian yang dijalankan oleh syarikat Kokenawa mendapati bahawa hampir tiada bau yang dihasilkan oleh beg tersebut apabila ia dibiarkan di dalam tempat tertutup selama seminggu dengan keadaan berisi najis.

 

“Ia juga boleh disimpan di dalam beg tangan wanita, jadi kami berharap pembeli boleh membawanya walau ke mana-mana sahaja,” ujar Kokenawa.

 

Setakat ini, kira-kira 50,000 Pocketoilet telah dijual selain syarikat tersebut turut menyumbangkan sebanyak 6,000 unit kepada mangsa-mangsa perang di Ukraine.

Post a Comment