Mangsa Dera Sampai Terpaksa Buang Tengkorak Kepala Selamat Lahirkan Bayi – Manis Madu
Mangsa Dera Sampai Terpaksa Buang Tengkorak Kepala Selamat Lahirkan Bayi

Mangsa Dera Sampai Terpaksa Buang Tengkorak Kepala Selamat Lahirkan Bayi

Mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin selamat melahirkan bayi lelaki dalam kandungannya secara pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban malam tadi.

 

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, memaklumkan bahawa kakaknya Jahidah, 43, telah menjalani pembedahan kecemasan kira-kira pukul 9 malam.

 

“Alhamdulillah kak Jahidah sudah lahirkan baby, pembedahan kecemasan pukul 9 (malam). Esok kena ke hospital tengok baby,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Jelas Fauziah, kakaknya kini berada dalam pemantauan 24 jam oleh petugas hospital.

 

Jahidah telah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi, HTJ sejak 22 November lalu tetapi pihak keluarga tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat.

 

Doktor memaklumkan bahawa wanita itu bakal berhadapan pelbagai komplikasi respiratory distress (kesukaran pernafasan), pendarahan, jangkitan kuman, cardiac arrest (jantung terhenti) dan kematian.

 

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

 

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

 

Sebelum ini pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Post a Comment