“Tak Kelakar, Kesian Dia!” Takutkan Kanak-Kanak Dengan Kucing Boleh Jadi Punca Trauma – Manis Madu
“Tak Kelakar, Kesian Dia!” Takutkan Ka

“Tak Kelakar, Kesian Dia!” Takutkan Kanak-Kanak Dengan Kucing Boleh Jadi Punca Trauma

Beberapa hari lalu, tular di laman TikTok satu video mempamerkan gelagat seorang kanak-kanak yang menjerit ketakutan kerana diberikan kucing kepadanya.

Sekali pandang video tersebut boleh mengundang tawa. Malah di ruangan komen juga, rata-rata warganet terhibur melihat aksi kanak-kanak itu. Namun, tindakan tersebut sebenarnya tidak wajar kerana dibimbangi mengundang trauma psikologi kepada kanak-kanak berkenaan.

 

Menurut laporan, Pegawai Kaunselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dzul Hafiz Zoriff berkata, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan kerana boleh memberi impak jangka panjang kepada kanak-kanak itu sekaligus mengakibatkan trauma berpanjangan buat mangsa.

 

“Jika kita lihat video itu, mungkin ada orang akan berasa comel apabila kanak-kanak itu berasa takut dengan kucing, siap boleh rekod video lagi. Tetapi, perkara itu salah dan tidak sepatutnya berlaku kerana berupaya mengundang trauma psikologi.

 

“Setiap manusia mempunyai perwatakan berbeza secara semulajadi, jika kita memberi tekanan kepada karakter itu, ia akan menyebabkan trauma selain mangsa akan berasa kurang yakin dengan keadaan sekeliling,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

 

Meskipun video yang dimuat naik pemilik akaun @acong44 itu sudah mencecah jutaan tontonan dan kebanyakannya terhibur melihat gelagat kanak-kanak yang takut pada kucing itu, namun terdapat juga pandangan berbeza daripada netizen lain.

 

Terdapat segelintir netizen yang menganggap perkara itu sebagai tidak wajar dan bukan perkara yang boleh dijadikan bahan gurauan.

 

“Benda ni tak kelakar. Kesian dia!”

 

“Jangan buat macam tu. Nampak macam nak gurau tapi boleh fobia dia,”

 

“Tak kelakar pun, fobia budak tu nanti. Kita ada anak sepupu takut kucing. Sampai sekarang tak boleh tengok kucing walaupun kucing tu tak buat apa-apa,”

 

“Sikit pun tak kelakar, orang takut kucing je faham perasaan adik tu,”

 

Semoga adik tersebut tidak trauma dengan kucing, ya adik dan membesar untuk sayangkan haiwan-haiwan!

Post a Comment